“Percayakan aku Volare.” Kata Nur Aishah sambil memandang dan menggenggam erat tangan sahabatnya itu. Dia mengharapkan rakannya yang bermata galak itu faham dengan keadaannya sekarang. Muka Volare berkerut. Nur Aishah mengeluh kecil. Dia faham dengan apa yang di fikirkan rakannya itu. Tidak mungkin wanita itu menyokong dengan apa yang dia lakukan kini.
“Tapi keputusan yang kau buat ni mengarut laa Amanda! Mengarut sangat! Aku tahu kau minat dengan Naqib tapi ini bukan jalan untuk kau keluar dari agama pegangan kita!” bisik Volare perlahan tapi tegas tidak mahu perbulan mereka didengari orang yang lalu-lalang di cafe tersebut. Terpancar di muka bertapa marahnya dia apabila melihat Nur Aishah atau nama sebenarnya Amanda Ryan berubah dalam sekelip mata. Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa gadis yang selama ini berjiran dengannya, yang menjadi sahabat karibnya, yang menjadi teman pendengar setianya kini memeluk Islam setelah baru dua tiga tahun menetap di Malaysia. ‘Gila!!!’
Tersentak sebentar Nur Aishah apabila nama Naqib dikaitkan dalam hal ini. Dalam hatinya beristigfar mendengar tuduhan itu. “Naqib? Tidak Volare, tidak.! Aku menganuti agama ini bukan kerana dia tapi kerana diriku sendiri.” Ujar Nur Aishah perlahan.
Naqib, pelajar senior dari Malaysia yang menuntut di University of Cambridge dalam jurusan perundangan itu satu ketika dahulu pernah memikat hatinya. Seniornya itu seorang muslim tapi hati budinya yang tidak lekang membantu pelajar-pelajar baru seperti dirinya membuatkan dia mula mendekatkan diri dengan lelaki itu. Dia mengenali lelaki itu sebagai seorang yang baik, bersemangat dalam pelajaran, dan seorang yang kuat beribadat tetapi itu tidak menarik minat dalam hatinya untuk mengenali Islam walaupun sebenarnya jauh dalam hati, dia kagum melihat Naqib yang sentiasa berjaya menolak ajakkan syaitan sedangkan dia? Masih suka berfoya-foya, suka memabukkan diri sendiri tiap malam miskipun Naqib selalu menasihatkan dirinya.
“Kerana diri kau sendiri? Memang! Memang kerana diri kau sendiri. Kau tu pentingkan diri, kau tak fikir apa perasaan keluarga kau, kau tak fikir apa perasaan kawan-kawan kau, kau tak fikir apa perasaan aku bila kau peluk agama ini, kau malukan aku Amanda, kau malukan kami. Kau perlu tahu walaupun aku kurang didikan agama, walaupun aku tak selalu beribadat, walaupun aku ni liar tapi aku tak hipokrit macam kau. Aku tak tergamak keluar dari agama yang sudah lama bersama aku macam kau!” Jerit Volare lantang sambil menghentak meja. Jeritan Volare itu mengejutkan hampir kesemua mereka yang berada di dalam mahupun di luar cafe tersebut termasuk Nur Aishah. Walaupun dia menjerit menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, rata-rata pelanggan dapat menangkap maksud percakapan wanita itu.
Nur Aishah yang terkejut dengan perbuatan Volare tergamam. Takut melihat gadis yang berambut perang itu mengamuk. Selama bersahabat dengannya, Volare tidak pernah meninggikan suara, lagi-lagi di hadapan orang ramai. Ini kali pertama dia begitu.
“Amanda, a..a..aku minta maaf.” Dia terduduk semula di hadapan Nur Aishah dan tidak memperdulikan orang ramai yang sedang menyaksikan pertengkaran itu. Ramai yang berbisik-bisik mengenai hal itu. Dia rasa bersalah kerana memalukan Nur Aishah walaupun sebenarnya dia lega setelah dapat melepaskan geram dengan perbuatan rakannya itu. Nur Aishah diam tanpa kata.
“Mari kita balik. Aku hantarkan.”
****************************************************
“Terima kasih. Tak mahu masuk dahulu ke?” tanya Nur Aishah gementar.
“Tak apalah. Terima kasih. Aku nak cepat ni. Malam ni aku nak pulang ke Australia.” Balas Volare sambil membetulkan rambutnya pada cermin pandang belakang.
“Owh. Hati-hati jalan.”
“Baiklah.” Balas Volare terus memecut keretanya laju.
Nur Aishah sedih. Sepanjang perjalanan pulang tadi pun, Volare banyak mempersoalkan tentang agama Islam. Dia tahu Volare masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa kini dia sudah bergelar saudara Islam. Penampilannya yang menutup aurat kini memang tidak dapat memuaskan hati Volare.
“Mengapa kau berpakaian sebegini?” tanya Volare yang sedang memandu dalam perjalanan menghantar Nur Aishah pulang sebentar tadi.
“Kerana agamaku.” Ujar Nur Aishah ringkas.
“Mengapa demi agama baru kau itu, kau sanggup berpanas menutup semua badan kau tu?” Dia pelik melihat Nur Aishah yang satu ketika dulu agak seksi berubah menutup hampir keseluruhan badannya. “Apakah disebabkan agama kau ini juga kau tidak mahu ikut aku ke kelab tadi?”
Nur Aishah mengangguk.
“Aku tak faham laa dengan kau ni, mengapa kau nak bersusah-payah ikut ajaran Islam, sedangkan agama kita yang tak begitu ketat tidak seperti Islam itu, kau tak praktikkan pun dalam hidup. Kau ni mengapa Amanda? Adakah sebab Naqib kau berubah sebegini?” tanya Volare lagi. Sebenarnya dia begitu kecewa dengan keputusan Nur Aishah yang menganut agama lain. Keputusan Nur Aishah menganut agama lain baginya seperti menghina agama yang dianutinya.
“Bukan sebab Naqib, aku sudah lama tidak berhubung dengannya. Lagipun dia sudah berkahwin.” Nur Aishah terdiam seketika. Mungkin ingin menyusun ayat. “Aku perlukan Islam dalam hidup aku kerana aku melihat ia sebagai satu agama yang sempurna dan nama aku bukan lagi Amanda tetapi Nur Aishah.” Sambungnya semula.
“Baguslah... tak cukup bertukar agama tukar nama pula. Islam itu agama yang sempurna? Habis tu agama kita tak sempurna ke? Tak hebat macam agama Islam? Kau tahu tak, tindakan kau keluar dari agama kita ini seperti satu penghinaan. Tahu tak?”
********************************************
Dia memandang dirinya di cermin. Dari atas ke bawah. Muka yang putih bersih tanpa solekan, tudung yang labuh menutup rambut dan dada, baju yang longgar tidak menampakkan bentuk badan semuanya berbeza dari masa yang lepas. Dia yang dulunya sosial tiba-tiba berubah. Dia menangis mengingati peristiwa tadi. Rakan baiknya kecewa melihat perubahan ini sehingga tergamak memarahinya. ‘Ya Allah bagaimana pula dengan ibubapa aku? Kakak dan abangku? Boleh terimakah mereka akan diri ini lagi? Atau akan terpinggirkah aku setelah mereka tahu aku menganuti agama ini?’ Nur Aishah tidak pernah terfikir akan berkenalan dengan Islam dengan lebih mendalam miskipun dia kenal Islam daripada Naqib terlebih dahulu. Walaupun begitu, ketika mereka menuntut bersama, dia tidak pernah berminat untuk mengenali Islam walaupun kadang-kadang Naqib akan berbicara akan soal itu. Dirinya langsung tidak berminat.
Namun apabila sudah setahun bekerja di Malaysia, dia dapat merasakan dirinya secara tidak langsung dekat kepada agama itu. Manakan tidak... pertama sekali rakan-rakannya kebanyakkan beragama Islam dan keduanya dia menyewa rumah juga dengan rakan-rakan yang beragama Islam. Sebelum bergelar mualaf, dia sering mempersoalkan dan memperhatikan rakan-rakannya bersembahyang, berpuasa, menutup aurat, membaca Al-Quran dan yang lebih memeningkan kepala mereka tidak boleh makan itu, minum ini. Akan tetapi jiwanya sekali-sekala tenang apabila melihat mereka melakukan suruhan Tuhan. Tanpa dia sangka, jauh di sudut hatinya dia mula seronok mengenali Islam.
Perkara yang paling penting lalu membawanya terus ke jalan Allah ialah pada suatu hari di mana dia bersama Hawa dan Siti sedang menunggu bas untuk pulang ke rumah. Petang itu hujan lebat, angin bertiup kencang, petir berdentum dan guruh sekali-sekala memainkan irama yang menggerunkan. Dia, Siti dan Hawa berhimpit-himpit bersama yang lain di bawah pondok perhentian bas yang agak kecil itu kerana hujan lebat. Mereka berada di hujung pondok untuk memudahkan pergerakkan bila bas datang. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi hon yang agak panjang, diikuti dengan bunyi hon dari kereta-kereta lain dan bunyi dentuman yang kuat. Dalam sekelip mata sahaja dirinya sudah terbaring atas jalan raya. Dia ingat itu, tapi dia tidak tahu bagaimana dirinya dan orang-orang lain boleh tercampak ke jalan raya yang sedang menggila. Dia dengar akan jeritan dan pekikan orang-orang sekeliling. Sakit yang menjalar tidak dapat diucap oleh kata-kata. Hujan yang mencurah tiada erti bagi Amanda buat masa itu. Akhirnya dirinya pengsan tanpa dapat berfikir tentang dua lagi rakannya.
Semasa dalam keadaan pengsan itulah hatinya menangis ketakutan. Tiba-tiba, ayat-ayat suci Al-Quran mula berkumandang dalam dirinya membuatkan dia kebingungan seketika dan kemudian hatinya mula terasa lapang. Apabila sedar, dia berada di hospital namun tiada siapa di sebelahnya yang sedang membacakan ayat-ayat Al-Quran itu. Bagaimana dia boleh bermimpikan ayat-ayat dari kitab suci Allah? Kerana ayat suci Al-Quran itulah dia memeluk Islam kerana dia yakin akan Islam setelah mula mendekati ajaran itu sedikit demi sedikit. Kerana Islam jugalah hatinya kini tenang sentiasa.
*******************************************
“Nur?” panggil Hawa. Nur Aishah membuka matanya perlahan-lahan.
“Mengapa tidur di sini?” tanya Hawa apabila melihat rakan serumahnya itu terlena di atas sofa tadi.
“Owh. Maaf, aku penat sangat.” Jawabnya lemah. Dia juga tidak sedar yang dia boleh tertidur di situ setelah pulang dari bertemu Volare tadi. ‘Volare? Iya... Rakanku itu masih tidak kenal akan keindahan Islam jadi aku tidak boleh bersedih atas kemarahan dia tadi. Aku yakin, suatu hari nanti dia akan terima aku dan pegangan hidupku ini.’
‘Aku menganuti agama ini bukan kerana cinta manusia, bukan juga kerana menghina agamanya tetapi kerana pintu hidayah yang selama ini tertutup akhirnya telah terbuka. Cintaku kini hanya satu. Islam!’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan